Isnin, 22 Disember 2008

Fakta Menarik Tentang Kuala Rompin


  1. Jolokan nama ‘Bandar Udang Galah’ diberikan kepada Kuala Rompin oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang kerana sumbangan daerah itu yang mampu menghasilkan udang galah semula jadi daripada sungai utamanya, Sungai Rompin serta dapat menghasilkan benih udang galah baka baik.

  2. Taman Negeri Endau-Rompin meliputi kawasan seluas 40,197 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal yang mempunyai topografi yang berbukit bukau, menarik, nyaman serta terdapat tumbuh-tumbuhan dan haiwan seperti badak sumbu, harimau, gajah, rusa, termasuk binatang yang hampir pupus seperti ‘babi janggut’ dan burung. Hutan ini juga menjadi pusat penyelidikan hutan tropika, di samping pusat rekreasi keluarga.


  3. Pihak swasta turut membangunkan kawasan pantai Rompin dengan kemudahan penginapan dan tarikan pelancongan. Ini termasuklah Rompin Beach Resorts (RBR), Lanjut Golden Beach Resorts, Summerset At Rompin, Rest House Kuala Rompin, Rumah Rehat Persatuan Nelayan Rompin, Hotel Seri Malaysia di Tanjung Gemok. Di Pulau Tioman terdapat Hotel Berjaya serta beratus-ratus rumah rehat dan chalet yang dibangunkan penduduk tempatan di Pulau Tioman.

  4. Menurut beberapa catatan sejarah, sejumlah kapal dan jong milik pelayar China, Portugis, Belanda dan British East India Company dipercayai pernah berlabuh di sini. Malah pada Sudut Muzium Pulau Tioman terdapat juga catatan tentang penemuan kapal dan jong yang tenggelam itu serta beberapa penemuan artifak purba oleh penduduk tempatan.

  5. Pada 31 Julai 1976, Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar mengisytiharkan dan memasyhurkan daerah Rompin sebagai sebuah daerah penuh serta menjadi daerah ke-9 dalam negeri Pahang Darul Makmur.

0 ulasan: